Subscribe Now: Feed Icon

Jumaat, 5 Oktober 2012

Tawaran Awam Permulaan (IPO)

Prospektus Tawaran Awam Permulaan (IPO) - Apa Yang Perlu Diketahui Oleh Setiap Pelabur Bijak
 
 
Melabur di dalam bursa saham tidak seharusnya dilakukan mengikut "hati naluri" berasaskan gerak hati, tekaan, maklumat panas, khabar angin atau spekulasi. Ini adalah kenyataan bagi pelaburan di dalam sekuriti syarikat yang telah pun disenaraikan di bursa saham; begitu juga bagi pelaburan di dalam syarikat-syarikat yang memohon penyenaraian buat pertama kalinya. Memohon penyenaraian di bursa saham juga disebut sebagai "pengapungan awam" atau "pengapungan". Tujuan memohon penyenaraian adalah untuk mendapatkan dana bagi perkembangan perniagaan atau pertumbuhan syarikat. Oleh yang demikian, syarikat yang memohon penyenaraian akan menawarkan sebahagian sekuritinya untuk dijual kepada orang awam, sebagai sebahagian daripada urusan penyenaraian. Tawaran ini disebut sebagai Tawaran Awam Permulaan (IPO).

Kini, setiap syarikat yang ingin membuat IPO perlu mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti sebelum IPO tersebut boleh dilaksanakan. Dalam mempertimbangkan sesuatu cadangan IPO, Suruhanjaya Sekuriti akan mengkaji secara keseluruhan kesesuaian syarikat yang membuat IPO. Setelah mendapat kelulusan, syarikat berkenaan diperlukan menerbit satu prospektus yang menerangkan tentang syarikat dan pemiliknya, bidang perniagaan, prestasi syarikat serta ramalan masa depan syarikat. Pembelian sekuriti yang ditawarkan oleh syarikat yang membuat IPO, sebenarnya, merupakan satu kontrak antara syarikat tersebut dengan anda, sebagai pelabur. Seperti juga lain-lain kontrak, adalah penting bagi anda untuk memahami sepenuhnya hak-hak anda serta terma-terma dan syarat-syarat yang ditetapkan di dalam prospektus. Anda tidak boleh mendakwa "tertipu" kemudian kelak.

Analisis anda terhadap sebuah syarikat IPO hendaklah bermula dengan prospektus. Selanjutnya, anda perlu menanyai diri sendiri beberapa soalan penting. Misalnya, anda mungkin ingin tahu sama ada perniagaan berkenaan akan berkembang atau sebaliknya. Jualan yang lebih tinggi bermakna lebih banyak keuntungan dan sewajarnya harga saham yang lebih baik.

Walau bagaimanapun, perangkaan tidak memberikan gambaran yang selengkapnya. Bacalah prospektus dengan teliti untuk mendapatkan maklumat mengenai prospek pertumbuhan syarikat berkenaan. Anda juga mahu mengetahui siapa yang mengurus syarikat IPO, produk yang dijual oleh syarikat IPO, siapa yang membeli produknya, dan sama ada produk tersebut akan terus laris dijual.

Maklumat penting mengenai aspek-aspek tersebut boleh didapati dari pelbagai bahagian di dalam prospektus IPO. Carta aliran mengenai cara membaca prospektus diberikan di bawah.



Sesebuah prospektus IPO mungkin panjang dan kadang kala merupakan dokumen yang membosankan. Bagaimanapun, ia boleh membantu anda memahami dengan lebih mendalam syarikat di mana anda bercadang untuk melaburkan wang anda. Setidak-tidaknya, anda harus membaca bahagian ringkasan maklumat penting prospektus IPO jika anda tidak mempunyai masa atau kecenderungan untuk membaca keseluruhan dokumen. Bagi lain-lain dokumen yang berbentuk kontraktual, jangan lupa membaca nota-nota halus. Ini bermakna nota kaki, nota halus dan "Nota Kepada Akaun" di dalam prospektus.

Panduan ini bertujuan sebagai satu pengenalan am. Anda boleh mendapat maklumat lanjut daripada BSKL, MESDAQ, pertubuhan-pertubuhan industri kewangan, dan daripada broker atau penasihat kewangan anda.
Risiko tetap wujud di dalam apa jua bentuk pelaburan. Suruhanjaya Sekuriti, bursa saham atau pun mana-mana juga pihak berkuasa tidak dapat melindungi seseorang pelabur daripada menanggung kerugian berkaitan dengan risiko pelaburan biasa, seperti perubahan di dalam nilai pelaburan akibat daripada volatiliti pasaran. Adalah amat penting bagi anda sendiri untuk sentiasa berjaga-jaga.


Klik untuk ketahui lebih lanjut tentang IPO



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Subscribe via email